Friday, January 13, 2012

Terima Kasihnya

Akhirnya dia membuat kata putus dengan menerima kasih yang di berikan lewat masa dulu.Sekian lama persoalan itu tergantung tanpa jawapan,dan akhirnya jawapan yang jauh sekali dari keinginan hati diluahkan.




Akhir tahun lepas si gadis memaklumkan pada aku bahawa dia akan memohon cuti tahun pada akhir bulan disember selama seminggu.Katanya dia punya urusan penting yang harus di selesaikan di antara hidup mati dan masa depannya sendiri.Dan aku dapat meneka,itu sudah pastinya punya kaitan dengan rancangan pertunangan yang telah di atur oleh keluarganya beberapa tahun lalu.Dan selepas beberapa kali pertemuan dengan bakal tunangannya,si gadis datang menemui aku.Lewat petang itu si gadis tiba di muka pintu rumah aku dengan wajah yang lesu.


"Aku mahu tinggal di sini sehingga cuti tahun aku habis."


Si gadis berkata sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah aku.Tingkahnya aku perhatikan begitu lemah dan lesu dia kelihatan begitu penat.Mungkin kepenatan kerana berjalan jauh atau mungkin sebenarnya dia penat menahan rasa yang tersimpan jauh di lubuk hatinya paling dalam.Dia merebahkan dirinya di sofa dan memejamkan matanya kejap.Aku duduk di sebelahnya dan memicit micit kepalanya.Dan pada masa yang sama cuba untuk memancing bicara.Kau nampak begitu penat,bagaimana perjalanan kau tadi? Aku cuba memulakan mukadimah awal,hairan karena biasanya si gadis akan meminta aku mengambilnya di terminal bas,setiap kali dia mahu ke sini,tapi tidak untuk kali ini.


"Semuanya berjalan lancar seperti biasa,cuma perjalanan jauh buatkan aku rasa begitu penat."


Jawab si gadis sambil membetulkan duduknya disisi aku.Aku tahu,sudah tentu ada sesuatu,jika tidak masakan lakunya luar dari biasa yang aku kenal.Aku tidak mahu terus di serang tanda tanya.Berlaku jujur adalah yang sebaiknya,aku tidak mahu si gadis menyimpan rasa berat itu sendiri-sendiri dan aku juga tahu saat ini dia benar-benar memerlukan seseorang disisinya untuk menjadi penenang hatinya di kala gundah begini.Sayang,aku tahu kau sudah pun bertemu sama tunang kamu tempoh hari kan? Lalu bagaimana keputusan kamu? Si gadis tunduk membisu seketika sambil melepaskan nafas yang bagaikan tersekat.


"Pembetulan, "bakal tunang" dia belum lagi sah menjadi tunang aku."


Kedengaran amat janggal tika si gadis menekankan "bakal tunang" bunyinya agak berat dan tidak mesra.Hatinya masih belum dapat menerima sepenuhnya,tapi aku masih dapat mengesan pasti ada sesuatu yang lain ingin di sampaikan si gadis pada aku.Apa bezanya tunang dan bakal tunang,dia sudah pasti akan menjadi tunang kamu jugakan? Aku menyambung bicara,wajahnya tika itu aku lihat beku tanpa rasa pudar tanpa warna.Sudah pastinya dia sedang menyimpan satu bebanan perasaan yang amat berat.Tangannnya aku raih dalam genggaman cuba menyalurkan kekuatan sebanyak mungkin buat si gadis.


"Aku......sudah terima."


Lambat-lambat dia memberi jawapan pendek itu.Kelihatan ada genang berat di matanya tunggu masa untuk luruh.Entah rasa apa yang terbit tika itu,gembira atau sedih suka atau duka hanya dia sendiri yang merasainya.Aku tahu itu merupakan satu keputusan yang amat berat buat hati kecilnya.Tak kanlah tidak ada satu rasa pun yang terbit buat dia selama 3 hari pertemuan antara kau dan dia? Tidak tergerak langsungkah hati kecil kamu untuk mengenali dia dengan lebih dalam? Panjang lebar aku menutur meminta penjelasan yang lebih dari si gadis.Telinga aku sudah menangkap bunyi esak halus dari si gadis.Dia masih menunduk sembunyikan wajah mendungnya tika itu.


"Sudah...aku sudah cuba mencari-cari perasaan itu buat dia.Tapi kau sendiri tahukan yang hati aku ini masih lagi ada pada yang lain."


Si gadis kelihatan sangat sedih tika itu hatinya sudah pasti rasa kecewa yang amat sangat.Aku sudah duga,kesudahannya pasti begini.Tapi semuanya sudah terlambat sudah di atur mengikut perjanjian bertahun yang dulu.Masakan dia mampu untuk mengecewakan hati-hati yang lain untuk dirinya sendiri.Kau sudah terima dia itu tanda kau juga sudi terima cinta dia.Redhalah jika itu yang terbaik buat kamu mungkin ini yang di namakan jodoh juga takdir buat kamu.Aku doakan yang terbaik buat kamu sayang.Itu saja yang mampu aku katakan padanya sekadar untuk menenangkan hatinya dan meredakan tangisannya.


"Berkata terima itu memang mudah,tapi mahu belajar untuk menerima itu payah."


Airmata yang membashi pipi mulusnya aku kesat dan si gadis merebahkan kepalanya di bahu aku.Dari tuturnya itu aku tahu dia sedaya mungkin cuba untuk belajar menerima seseorang yang di rasakan janggal buat dirinya.Aku dapat rasakan keperitan hatinya tika ini sudah pastinya itu bukan sesuatu yang mudah buat dia.Dan pastinya dia harus mencari jalan keluar terbaik tanpa melukakan hati seseorang yang disayanginya.Bukankah dulu kau pernah berkata yang cinta itu masih boleh di pupuk pujuk untuk ikhlas menerima? Seperti apa yang berlaku antara kau dan dia yang lainnya.Sengaja aku mengulang kata-kata yang pernah si gadis beritahu pada aku satu masa dulu.


"Ya...aku tahu itu yang pernah aku kata dulu selepas beberapa tahun aku kehilangan I,dan muncul pula H yang tenggelam timbul.dan tak lama selepas itu N hadir lalu mengubah seluruh hidup aku."


Panjang lebar balasan si gadis mengiyakan kata-kata aku tadi.Dan dalam pada masa yang sama hatinya tetap memberontak berperang dengan perasaan yang bercampur-campur menjadi satu.Aku dapat rasakan si gadis terlalu sedih dan kecewa dan pastinya dia sendiri sedang buntu mencari jalan untuk menjelaskan semua hal ini pada seseorang di sana yang sedang setia menanti cinta gadisnya...